3 perkara yang perlu diawasi bila perniagaan kita berada di atas rantaian bekalan orang lain

3 perkara yang perlu diawasi bila perniagaan kita berada di atas rantaian bekalan orang lain
Semalam saya cerita berkenaan apa yang perlu diambilkira bila memilih pembekal. Maknanya mereka berada di atas rangkaian bekalan kita.
Bagaimana pula jika kita sendiri berada di atas rantaian bekalan orang lain? Ini adalah bagi perniagaan B2B, menjual kepada perniagaan lain, tidak kepada pelanggan runcit di pasaran terbuka. Contohnya, mengeluarkan sabun untuk dijual kepada syarikat jualan lansung.
Risiko perniagaan yang ada di atas rantaian bekalan orang lain merangkumi:
1. Pengucupan pasaran mereka akan menyebabkan jualan kita mengucup sama. Ini boleh terjadi ke atas pelanggan secara individu atau penguncupan industri berkenaan secara keseluruhan. Oleh itu kita perlu sentiasa mengikuti perkembangan permintaan ke atas barangan yang dijual oleh pelanggan yang membeli barangan kita.
2. Kalau kedudukan kewangan pelanggan lemah, ianya juga boleh menjejaskan aliran tunai perniagaan kita. Apa lagi jika jualan kepada pelanggan berkenaan peratusnya tinggi berbanding dengan jualan keseluruhan perniagaan kita. Jika mereka menjadi pelanggan utama, mereka juga akan meminta tempoh kredit yang panjang, mereka nak suruh kita biayai modal pusingan mereka. Oleh itu, kena berhati-hari bila meningkatkan jualan kepada pelanggan yang besar. Cuba nilai kekuatan kewangan mereka dengan mengkaji penyata kewangan yang ada.
3. Di dalam industri yang sentiasa berubah, spesifikasi produk yang diperlukan juga boleh berubah dengan cepat. Adakah perniagaan kita mempunyai daya kajian dan pembangunan (R&D) yang boleh melayan kehendak pelanggan? Jika kita lambat atau tidak boleh memenuhi spesifikasi pada kos yang pembeli mahu, mereka boleh cari pembekal lain.
Berhati-hati jika mahu membekal kepada pelanggan besar. Ramai usahawan mahu membekal kepada pasaraya, contohnya. Mereka biasanya membeli dengan jumlah yang besar, harga yang rendah dan tempoh kredit yang lama. Adakah perniagaan kita mempunyai kapasiti pengeluaran dan kewangan yang cukup bila berjual kepada pelanggan sebegini? Jangan kejar glamour tetapi akhirnya tersunkur kerana tak cukup modal.
Sebab itu di dalam perniagaan, kita kena pandang ke depan dan ke belakang. Ke depan untuk membaca arah aliran industri, permintaan dan kehendak pelanggan. Ke belakang supaya pembekal kita boleh terus menyokong kita.
Oleh : Nik Hasyudeen

Catat Komen

0 Ulasan